Kenali Kak Cun

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog kak cun ini.

Kak Cun adalah seorang ibu yang mempunyai tiga orang anak berusia 6 tahun, 3 tahun dan 2 tahun. Bekerja sendiri daripada rumah sambil menguruskan anak-anak. Hampir 4 tahun menjadi work at home mom (WAHM) dan terkini menjadi supir kepada anak-anak ke tadika serta taska.

Kak Cun berasal dari Mersing, Johor dan kini menetap di Bandar Puncak Alam, Selangor.

Blog ini terhasil daripada passion kak cun untuk berkongsi maklumat dan informasi tentang pemakanan secara sihat serta diet tanpa perlu berlapar. Kak cun percaya ramai yang sering gagal dalam usaha untuk kuruskan badan. Selalunya azam tahun baru sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Kak Cun sendiri BUKANLAH seorang yang berbadan kurus sejak kecil tapi tergolong dalam GOLONGAN GEMUK sejak kecil lagi. Kalau ikutkan usaha untuk kuruskan badan tu secara serius selepas masuk universiti pada usia 20 tahun tapi seperti biasa, paling lama bertahan pun 2 minggu sahaja. Sejak itu, memang banyak cara kak cun cuba. Asal ada iklan produk kurus badan, laju sahaja order dan akhirnya tersadai begitu sahaja. Badan tetap gemuk juga.

Dengan ketinggian 160cm, berat 80kg membuatkan kak cun kelihatan seperti tong dram berjalan. Dalam sejarah hidup pernah sekali kak cun berjaya turunkan dalam 20kg dengan menggunakan produk. Kurus tu memang kurus tapi badan letih, kurang stamina, muka kusam dan saiz badan masih L. Sayangnya lepas berkahwin, mengandung dan bersalin anak pertama, badan terus naik.

kak cun yang gemuk sejak kecil

Bermulalah semula episod gemuk, kurus, gemuk, kurus sehingga lepas bersalin anak ketiga. Ingatkan lepas tempoh berpantang, berat akan turun banyak tapi sangat kecewa kerana hanya 7kg daripada berat sebelum bersalin. Lepas baby berusia 3 bulan, berat masih tidak berubah dan kak cun sedar sesuatu perlu dilakukan. Kak cun nak kurus secara sihat tanpa guna produk dan 1 Nov 2015 adalah titik permulaan.

Alhamdulillah sehingga Januari 2017, Kak Cun berjaya turunkan 22kg dari 82kg sehingga 60kg. Paling seronok sebab saiz badan sudah jadi S/M. Rahsia kali ni berbanding dulu adalah Kak Cun tambah dengan senaman. Apa yang menyebabkan Kak Cun boleh konsisten adalah diet yang makan nasi sentiasa dengan menu makanan Malaysia yang diolah secara sihat, Kak Cun masih makan makanan kegemaran seperti dessert untuk my cheat meal.

Oh, kak cun juga seorang ibu yang menyusukan anak sepenuhnya. Masa mula diet sihat, anak Kak Cun berusia 3 bulan dan sekarang 1 tahun 5 bulan. Jadi, konsep pemakanan yang kak cun buat ini sesuai dengan ibu menyusu tanpa menjejaskan susu badan.

kak cun sudah kurus 22kg

In sha Allah dengan blog ni, kak cun harapkan ramai lagi yang akan dapat manfaat serta cekal dengan diet tanpa stress dan makan nasi tanpa rasa bersalah.